Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Kebawah DYMM akan adakan Keberangkatan Rasmi ke Thailand
26/04/2024

hm_2604241.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat mengadakan Keberangkatan Rasmi ke Thailand pada 28 hingga 29 April 2024 atas undangan Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Srettha Thavisin. 

Semasa berada di Bangkok nanti, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan menghadiri Majlis Mesyuarat Dua Hala bersama Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Thailand. 

Tahun 2024 menandakan Ulang Tahun Ke-40 Hubungan Diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Thailand sejak dijalinkan pada 1 Januari 1984. 

Keberangkatan Rasmi ini juga akan memberi peluang kepada kedua-dua buah negara untuk membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. 

Kali terakhir Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Bangkok adalah pada November 2022 bagi menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC (AELM). 

Baginda sebelum ini juga pernah berangkat mengadakan dua Keberangkatan Negara ke Thailand pada 1988 dan 2002 serta Keberangkatan Rasmi pada 2012.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​